ASAL USUL DAERAH BANDAR BAHARU


Menurut sumber lisan, Daerah Bandar Baharu dahulunya dikenali sebagai Pengkalan Haji Ali. Haji Ali merupakan Orang Rao dan seorang yang kaya. Beliau tinggal di Kampung Permatang Pasir. Setiap kali ingin keluar ke pekan, beliau akan mengupah seorang Cina untuk membawanya dengan menaiki lanca ke tebing Sungai Kerian. Kemudian beliau akan mendayung sampan menuju ke destinasi yang diingininya. Pada masa itu juga terdapat kemudahan kereta kuda yang digunakan untuk pengangkutan jarak jauh.


Dahulunya, Bandar Baharu tidak mempunyai Pegawai Daerah. Ia ditadbir oleh seorang penghulu. Penghulu yang pertama ialah Penghulu Ahmad yang bertugas di kawasan Bagan Samak. Semasa beliau mentadbir kawasan tersebut, beliau telah mati ditembak oleh orang yang tidak dikenali dan tidak tahu apa tujuan sebenarnya. Selepas peristiwa itu, Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Hamid merancang untuk datang ke Pengkalan Haji Ali. Tetapi, baginda tidak dapat datang atas sebab-sebab tertentu dan mengarahkan Tengku Sulong menggantikan tempatnya. Gelaran Sultan masa itu ialah Yang Amat Mulia Tuan. Selepas kedatangan Tengku Sulong, baginda telah mengubah Pengkalan Haji Ali kepada Jajahan Bandar Baharu.

 

Pinggiran Sungai Kerian